Sunday, August 21, 2016

Kita Bersatu Demi Sebutir Pingat Olimpik


KITA BERSATU DEMI OLIMPIK

Olimpik telah menyatukan kita rakyat Malaysia. Rakyat telah melupakan seketika fahaman politik dan semangat perkauman demi satu butir pingat emas untuk Malaysia. Betapa indah dan seronoknya dapat bersorak dan bertepuk tangan bersama-sama dalam satu rapat umum berbagai bangsa demimu Malaysia. Tiada seketika tuduh menuduh, bakar membakar dan caci mencaci. Di sini kita melihat rakyat Malaysia mempunyai satu matlamat dan tujuan sahaja iaitu sebutir pingat emas untuk Malaysia. Namamu Malaysia telah harum dipersada dunia dan telah menenggelamkan bau busuk pendedahan DOJ (Department Of Justice) Amerika baru-baru ini.

Negara luar yang baru mendengar tentang Malaysia pasti tertanya-tanya mengapa susuk tubuh anak muda berbangsa Cina yang mewakili Malaysia dan bukannya orang Melayu? Namum dia dipuja dan dijulang oleh semua bangsa, tidak kira  Melayu, India, Cina, Siam, Iban, Kadazan, Dusun dan berbagai bangsa lagi.  Bagaimana mereka boleh hidup rukun dan damai? Itulah uniknya negaraku Malaysia.

Kalau begitu.... mudah sahaja resepi untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia..iaitu... SUKAN. Negara harus hasilkan ahli-ahli sukan bertaraf dunia dan biarkan mereka bersaing di acara sukan bertaraf dunia seperti Olimpik dan Komanwel. Laburkan sedikit wang untuk kemajuan sukan. Banyak negara yang meletakkan sukan sebagai bidang karier yang cukup berprestij dan mampu menjana pendapatan berjuta-juta Dollar sebulan. Beri peruntukan yang lebih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggilap pelajar-pelajar yang berpotensi dalam bidang sukan. Tawarkan biasiswa dalam semua bidang sukan seperti yang dilakukan di negara-negara maju seperti Amerika sendiri. Kaji semula dasar pendidikan negara yang lebih menjerumus kepada orientasi peperiksaan semata-mata. Jadikan rakyat kita sihat dan berjaya dalam kerjaya dan bukan hanya cemerlang di dalam peperiksaan semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia..kita harus memikirkan tentang keamanan dan kestabilan sosial dahulu sebelum melangkau jauh. Jika Sukan adalah salah satu mekanisma yang akan mencorak kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia maka kita harus fokus dan melabur dalam bidang tersebut lebih berbanding  dengan bidang-bidang lain.

Maju Malaysia, Demimu Malaysia





No comments:

Post a Comment